Hukum wanita haid memegang dan membaca al-Quran
Para ulama’ bersepakat mengatakan haram bagi seseorang yang berhadas besar membaca al-Quran. Ini kerana dalil di dalam masalah ini adalah kuat dan jelas. Manakala bagi perempuan haidh, mereka khilaf di dalam masalah ini kerana kelemahan dalil yang berkait dengan masalah ini.
Jumhur ulama’ mengatakan haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran:
1. Imam at-Termizi mengatakan bahawa itu adalah pandangan majoriti ahli ilmu di kalangan sahabat, tabien dan generasi sesudahnya. (Jami’ Usul Jilid 7, ms 358 dan Bidayah Mujtahid Jilid 1 ms 56)
2. Imam al-Nawawi (ulama’ mazhab Syafie) mengatakan bahawa itu adalah pendapat yang diriwayatkan dari Omar, Ali dan Jabir r.a. dan juga pendapat al-Hasan al-Basri, Qatadah, Ato’, Abu al-Aliah, an-Nakhaie, Said bin Jubair, az-Zuhri, Ishak dan Abu Thur.
3. Imam Ahmad mempunyai dua riwayat di dalam masalah ini; pertama haram dan kedua harus.
4. Pendapat yang masyhur di dalam mazhab Syafie haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran.
Sebahagian ulama’ pula mengatakan harus:
1. Jumhur ulama’ mazhab Syafie dari Khurasan mengatakan bahawa qaul qadim (fatwa Imam Syafie sebelum dia berpindah ke Mesir) adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356)
2. Muktamad di dalam mazhab Maliki adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran secara mutlak dalam apa juga keadaan kecuali apabila haidhnya berhenti, diharamkan dia membaca al-Quran sehinggalah dia mandi.
Dalil bagi yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan haidh ada dua:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Termizi dari Abdullah bin Omar r.a.: “Janganlah seorang perempuan haidh dan seorang yang berhadas besar membaca apa-apa dari ayat al-Quran.”
2. Dalil kedua adalah qias. Hukum perempuan yang haidh diqiaskan kepada hukum orang yang berhadas besar kerana wujudnya ‘illah’ yang membolehkan kedua-dua hukum ini disamakan.
Berkenaan dalil yang pertama, Imam Nawawi berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Termizi dan al-Baihaqi daripada Abdullah bin Omar r.a. tetapi al-Termizi dan al-Baihaqi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis dhaif.” (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356). Ulama’ mazhab Hanafi juga bersetuju bahawa hadis ini dhaif walau pun mereka berpendapat bahawa perempuan yang haidh haram membaca al-Quran (al-Binayah Jilid 1 ms 643 – 644).
Ulama’ yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan yang haidh seterusnya mengatakan bahawa walau pun hadis ini dhaif tetapi ia boleh dijadikan dalil kerana ada hadis-hadis dari pelbagai riwayat yang menguatkannya.
Manakala dalil bagi ulama’ yang mengatakan harus bagi perempuan yang haidh membaca al-Quran ada dua:
1. Hadis yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa beliau membaca al-Quran ketika beliau berada dalam keadaan haidh.
2. Dalil akal yang membezakan di antara haidh dan hadas besar. Haidh tempohnya panjang berbanding hadas besar. Tidak membaca al-Quran untuk tempoh yang panjang akan menjadikan dia lupa. Di samping jika sekiranya dia adalah seorang guru agama yang mengajar al-Quran, hukum haram tersebut akan menjadikan mata pencariannya terganggu. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 357)
Dengan itu kami simpulkan bahawa perempuan haidh adalah haram membaca al-Quran dengan berpandukan dalil-dalil di atas. Jumhur sahabat, tabien dan ulama’ sesudah mereka berpendapat demikian dan ini menunjukkan kekuatan pendapat ini. Walau pun begitu diharuskan bagi perempuan haidh membaca al-Quran di dalam keadaan dharurat dan atas sebab-sebab tertentu seumpama yang disebutkan di atas.
Posted by Ustaz Muhammad Fauzi under Fatwa
Comments
Post a Comment