Monday, January 3, 2011

Hukum wanita haid memegang dan membaca al-Quran


Para ulama’ bersepakat mengatakan haram bagi seseorang yang berhadas besar membaca al-Quran. Ini kerana dalil di dalam masalah ini adalah kuat dan jelas. Manakala bagi perempuan haidh, mereka khilaf di dalam masalah ini kerana kelemahan dalil yang berkait dengan masalah ini.
Jumhur ulama’ mengatakan haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran:
1. Imam at-Termizi mengatakan bahawa itu adalah pandangan majoriti ahli ilmu di kalangan sahabat, tabien dan generasi sesudahnya. (Jami’ Usul  Jilid 7, ms 358 dan Bidayah Mujtahid Jilid 1 ms 56)
2. Imam al-Nawawi (ulama’ mazhab Syafie) mengatakan bahawa itu adalah pendapat yang diriwayatkan dari Omar, Ali dan Jabir r.a. dan juga pendapat al-Hasan al-Basri, Qatadah, Ato’, Abu al-Aliah, an-Nakhaie, Said bin Jubair, az-Zuhri, Ishak dan Abu Thur.
3. Imam Ahmad mempunyai dua riwayat di dalam masalah ini; pertama haram dan kedua harus.
4. Pendapat yang masyhur di dalam mazhab Syafie haram bagi perempuan haidh membaca al-Quran.
Sebahagian ulama’  pula mengatakan harus:
1. Jumhur ulama’ mazhab Syafie dari Khurasan mengatakan bahawa qaul qadim (fatwa Imam Syafie sebelum dia berpindah ke Mesir) adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356)
2. Muktamad di dalam mazhab Maliki adalah harus bagi perempuan haidh membaca al-Quran secara mutlak dalam apa juga keadaan kecuali apabila haidhnya berhenti, diharamkan dia membaca al-Quran sehinggalah dia mandi.
Dalil bagi yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan haidh ada dua:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Termizi dari Abdullah bin Omar r.a.: “Janganlah seorang perempuan haidh dan seorang yang berhadas besar membaca apa-apa dari ayat al-Quran.”
2. Dalil kedua adalah qias. Hukum perempuan yang haidh diqiaskan kepada hukum orang yang berhadas besar kerana wujudnya ‘illah’ yang membolehkan kedua-dua hukum ini disamakan.
Berkenaan dalil yang pertama, Imam Nawawi berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Termizi dan al-Baihaqi daripada Abdullah bin Omar r.a. tetapi al-Termizi dan al-Baihaqi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis dhaif.” (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 356). Ulama’ mazhab Hanafi juga bersetuju bahawa hadis ini dhaif walau pun mereka berpendapat bahawa perempuan yang haidh haram membaca al-Quran (al-Binayah Jilid 1 ms 643 – 644).
Ulama’ yang mengatakan haram membaca al-Quran bagi perempuan yang haidh seterusnya mengatakan bahawa walau pun hadis ini dhaif tetapi ia boleh dijadikan dalil kerana ada hadis-hadis dari pelbagai riwayat yang menguatkannya.
Manakala dalil bagi ulama’ yang mengatakan harus bagi perempuan yang haidh membaca al-Quran ada dua:
1. Hadis yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa beliau membaca al-Quran ketika beliau berada dalam keadaan haidh.
2. Dalil akal yang membezakan di antara haidh dan hadas besar. Haidh tempohnya panjang berbanding hadas besar. Tidak membaca al-Quran untuk tempoh yang panjang akan menjadikan dia lupa. Di samping jika sekiranya dia adalah seorang guru agama yang mengajar al-Quran, hukum haram tersebut akan menjadikan mata pencariannya terganggu. (Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid 2 ms 357)
Dengan itu kami simpulkan bahawa perempuan haidh adalah haram membaca al-Quran dengan berpandukan dalil-dalil di atas. Jumhur sahabat, tabien dan ulama’ sesudah mereka berpendapat demikian dan ini menunjukkan kekuatan pendapat ini. Walau pun begitu diharuskan bagi perempuan haidh membaca al-Quran di dalam keadaan dharurat dan atas sebab-sebab tertentu seumpama yang disebutkan di atas.

Posted by Ustaz Muhammad Fauzi under Fatwa 

Talaqi Al-Quran

Kelas Talaqi Al-Quran di Masjid Negri Shah Alam

 Kelas Bilik 13 di bawah bimbingan Ustaz Nurul Hisham  telah bermula pada 3 Januari 2011. Matlumat lanjut seperti berikut:
Jadual: 2 kali seminggu ( Setiap Isnin dan Rabu)
Waktu: 8:00 malam hingga 10:30 malam
Modul Pertengahan:
Tilawah: Al-Quran Juzuk 1-15
Tajwid:
1. Pengenalan Ilmu Tajwid 2. Hukum & Cara Bacaan Al-Istiazah 3. Hukum & Cara Bacaan Al-Basmalah 4. Hukum nun dan mim bersabdu 5. Hukum mim sukun 6. Hukum lam ta'rif 6. Hukum lam pada lafaz al-jalallah

Thursday, December 30, 2010

Hadith: Diangkat darjat dengan doa anak

Dari Malik dari Yahya bin Said bahawa Said bin Musayab berkata, sesungguhnya seseorang itu akan diangkat (darjatnya) dengan doa anaknya sepeninggalannya, seraya dia berisyarat dengan tanganya ke langit lalu mengangkatnya.

Hadith: Amalan yang berterusan


Dari Aishah isteri Nabi SAW dia telah berkata, amalan yang paling disukai Rasullullah SAW yang berterusan oleh pelakunya.

Doa hari ini

Ya Allah, cukupilah aku dengan rezeki-Mu yang halal (hingga aku terhindar) dari yang haram, dan kayakanlah aku dengan kenikmatan-Mu (hingga aku tidak minta) kepada selain-Mu.” (HR. at-Tirmidzi

Nikmat Lahir & Batin

RENUNGAN: NIKMAT LAHIR DAN NIKMAT BATIN

Untuk perkongsian dan renungan bersama…
Kesimpulan pengajian ‘Nikmat Lahir dan Nikmat  Batin’ (Al-Hikam) yang disampaikan oleh Ustz Ahmad Dasuki pada 23 Disember 2010 di Masjid Negeri Shah Alam.

Ketaatan kepada Allah s.w.t mencakupi lahir dan batin.  Perbuatan lahir sesuai dengan tuntutan syariat dan perbuatan batin pula mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah s.w.t. Memelihara sempadan yang ditentukan oleh Allah s.w.t secara lahir dan batin menghasilkan takwa. Semulia-mulia hamba di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa. 

Apabila kita mengerjakan perintah Allah s.w.t dan menjauhkan larangannya bererti Allah telah menanugerahkan kita nikmat lahiriah dalam mentaatinya.  Pertalian antara lahir dan batin dalam melaksanakan ibadat adalah sangat penting demi kesempurnaan iman.  Lahir maksudnya melaksanakan perintah-perintah itu menurut syariat seperti ibadat solat terlihat pada takbir, berdiri, rukuk, sujud dan lain-lain rukun qauli.  Sedangkan ketaatan bersifat batin adalah ikhlas dan penghayatan perasaan yang sempurna dalam batin kita kepada Allah s.w.t. 
 

“Apabila Allah Ta’ala telah memberi rezeki kepadamu, berupa perasaan puas dalam melaksanakan ibadah secara lahiriah, dan merasa cukup kaya bersama Allah secara batiniah, hendaklah engkau ketahui, bahwasanya dengan itu, Allah telah melimpahkan nikmat Nya kepadamu lahir dan batin''.

Nikmat lahiriah itu tidak sempurna jika tidak disertai dengan pengamalan taat yang bersifat batin. Nikmat lahir dan batin dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t amat tinggi disisi Allah s.w.t.  Hamba Allah itu dituntut dalam dua hal, yaitu teguh memegang perintah pada lahirnya, dan tetap berpegang dengan Allah dalam batinnya.  Perbuatan seperti ini menunjukkan bahwa si hamba telah diberi rezeki oleh Allah dan kurniaNya lahir dan batin.  Sebagai contoh, sebelum mengerjakan solat, kita hendaklah mengosongkan dari hal-hal yang boleh mengganggu hati kita. Kita bersiap seolah kita akan berhadapan dan berdialog dengan Allah swt dan menyembahNya dengan lahir dan batin.

Jika sebahagian orang menyembah Allah kerana takut dari azab siksaan neraka, itu adalh ibadat budak belian dan hamba sahaya. Jika sebahagian orang beribadat kerana gemar dan menginginkan syurga dan pahala, iabdat yang demikian adalah ibadat pedagang. Dan jika sebahagian kaum menymbah Allah kerana bersyukur kepadaNya, itulah orang-orang merdeka yang sebenarnya.
 
Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya… (Ayat 136 : Surah an-Nisaa’)

Ayat di atas ditujukan kepada orang yang sudah beriman. Mereka sudah pun beriman tetapi masih digesa supaya beriman. Iman pada tahap permulaan berdasarkan dalil-dalil dan pembuktian. Kemudian mereka diajak pula kepada iman dengan penyaksian mata hati, menyaksikan Rububiyah yang tidak pernah berpisah daripada Ubudiyah. Tanpa penyaksian terhadap Rububiyah segala amal tidak berguna kerana orang yang beramal menisbahkan amal itu kepada dirinya sendiri, sedangkan tiada yang melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya, dengan Haula dan Kuwwata-Nya. Himpunan amal sebesar gunung tidak dapat menandingi iman yang sebesar zarah. 

Orang yang beriman dan menyaksikan Rububiyah pada segala perkara dan semua amal itulah orang yang memperolehi nikmat yang sempurna lahir dan batin, kerana hubungannya dengan Allah s.w.t tidak pernah putus. Orang inilah yang berasa puas dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t dan berasa cukup dengan-Nya, kerana tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan tidak berlaku sesuatu perkara melainkan menurut ketentuan-Nya. Apa lagi yang patut dibuat oleh seorang hamba melainkan taat kepada-Nya dan menerima keputusan-Nya.

Semoga kita tergolong dari hamba-hambaNya yang soleh dalam ibadat serta mencapai kesempurnaan nikmat lahir dan batin kepada Allah s.w.t.